Kerjaya Faizal Hussein

Faizal dalam salah satu adegan filem Bunohan (2012).

Faizal membuat penampilan filem pertamanya menerusi filem Darah Panglima pada tahun 1972.

Memulakan langkah di pentas lakonan sejak 1982 menerusi filem Senja Merah, beliau melonjak naik selepas membintangi Gila-Gila Remaja pada 1986 sebagai Azroy.[8] Diarahkan bapanya, Allahyarham Hussein Abu Hassan, ia memberi impak besar untuk Faizal membuktikan darah seni diwarisi.

Pada tahun 1991, Faizal berlakon dalam dua filem, iaitu Kanta Serigala, memegang watak sebagai Zarul, seorang pemuda yang ingin membalas dendam terhadap kematian adiknya lakonan Melissa Saila dengan menculik seorang penyanyi rock wanita lakonan Didie Alias, ia turut dibintangi oleh sepupunya, Rosyam Nor; dan Bayangan Maut, memegang watak sebagai Eddie.

Selepas itu beliau sering mendapat perhatian ramai dan membintangi beberapa filem yang menampilkan beliau memegang watak protagonis. Selepas hampir 3 tahun tidak muncul dalam filem, beliau akhirnya mendapat tawaran membawa watak antagonis menerusi Leftenan Adnan. Percubaan beliau berhasil, dan membawa kepada pelbagai watak hitam yang beliau bawa dalam filem, mahupun drama.

Faizal muncul bersama Saiful Apek dan Zul Yahya dalam filem aksi komedi penyiasatan MX3 arahan Yusof Kelana yang ditayangkan pada 25 November 2003.[9]

Beliau memegang watak tajuk dalam filem Abuya arahan Imran Haji Ismail. Dikeluarkan pada 10 November 2011, ia mengisahkan tentang Abuya yang mengetuai satu kumpulan ajaran sesat.[10] Pada tahun yang sama, beliau berlakon dalam drama Pak Su Man di TV AlHijrah, drama ini turut dibintangi oleh Ezany Nizariff, Yatt Hamzah, Fazren Rafi dan Ieka Zulkifli.[11]

Pada tahun 2012, Faizal berlakon di samping Pekin Ibrahim dan Zahiril Adzim dalam filem arahan Dain Iskandar Said, Bunohan di mana beliau memegang watak sebagai Ilham. Persembahan beliau dalam filem ini melayakkannya memenangi Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-25[12] dan menerima pencalonan bagi kategori sama di Anugerah Skrin 2012.[13]

Pada tahun 2013, Faizal kembali menjayakan watak sebagai Azroy dalam filem arahan V. Nagaraj, Gila-Gila Remaja 2, kesinambungan dari filem 1985, Gila-Gila Remaja arahan bapanya.[14] Filem ini turut dibintangi oleh Hairul Azreen, Faralyna Idris, Taiyuddin Bakar, Fizz Fairuz dan Bella Dally.

Pada 17 Januari 2015, Faizal memegang watak utama bersama Sari Yanti dalam telefilem Penjara Seorang Isteri yang berkisarkan tentang perkahwinan Salmah dengan Zaid yang berlaku atas dasar suka sama suka dan perkahwinan mereka dikurniakan dua cahayamata. Dalam telefilem ini, yang berdasarkan dari satu kisah benar, Faizal menjayakan watak sebagai Zaid.

Bekerja di bawah arahan Pekin Ibrahim, Faizal menjayakan watak lakonannya sebagai Pit dalam filem Mat Moto yang ditayangkan pada 14 Januari 2016.[15] Beliau meneruskan rentetan kerjasamanya bersama Pekin dalam filem aksi permotoran KL Wangan dengan memegang watak Yudi. Bliau mengakui watak Yudi merupakan sesuatu yang menjadi kehendaknya ketika proses pra-penerbitan filem ini dijalankan. Ini merupakan kali ketiga beliau dan Pekin bekerjasama selepas Bunohan dan Mat Moto.[16]

Pada tahun 2018, Faizal berlakon dalam filem Dukun arahan Dain Said yang diilhamkan oleh kes Mona Fandey, filem ini ditayangkan pada 5 April 2018 selepas sedekad disekat dari tayangan. Beliau bersama-sama dengan barisan pelakon ensembel membintangi telefilem The Hantus arahan bersama Nabil Ahmad dan Helmi Yusof, di mana beliau memegang watak sebagai Pemandu Volkswagen Kuning.[17]

Beliau memegang watak penting dalam siri televisyen British-Amerika, Strike Back yang menjalani penggambaran sepenuhnya di Malaysia. Beliau memegang watak sebagai seorang pengganas Indonesia yang merancang untuk mengebom pusat beli-belah.[18]

Faizal bersama-sama dengan Nabila Huda memegang watak utama dalam filem seram thriler M4M4 arahan Eyra Rahman.[19] Filem ini turut dibintangi oleh pelakon baru, Bella Dowanna. Penggambaran dijalankan pada Diember 2018, filem ini ditayangkan pada 6 Februari 2020.

Rujukan

WikiPedia: Faizal Hussein http://english.astroawani.com/news/show/bunohan-so... http://youth.bernama.com/v2/news.php?id=1417816&c=... http://www.imdb.com/name/nm0404003/ http://variety.com/2011/film/markets-festivals/bun... http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2... http://www.nst.com.my/nation/general/bunohan-wins-... http://www.sinarharian.com.my/hiburan/gila-gila-re... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt... https://www.instagram.com/faizalhusseinofficial/ https://www.malaysiakini.com/hiburan/429725